Selasa, 6 September 2011

Kisah Perjuangan Kanang Anak Langkau

Sekadar mengambil beberapa artikel berkenaan 'legend' Kanang Anak Langkau. Semoga info ini dapat dikongsi bersama dan dapat juga memberi kesedaran kepada kita semua untuk menghargai nilai perjuangan pahlawan negara terdahulu.

Saya juga masih mengharap agar ada pihak yang akan mengeluarkan filem berkenaan Kanang Anak Langkau. Para produser mungkin tidak berminat kerana kerja mereka bersifat 'profit oriented'.

Namun, Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan bajet kepada pembikin filem untuk menghasilkan filem berkisar perjuangan pahlawan negara. Tidak keterlaluan jika saya katakan, Kerajaan wajar menyediakan 'bajet tahunan' untuk projek sebegini selaras dengan sambutan bulan kemerdekaan setiap tahun.

Nah... hayati info ini untuk kesedaran bersama...




PW I Kanang Anak Langkau

 
901378 Sarjan Kanang anak Langkau (Bersara dalam pangkat Pegawai Waran I) telah mengetuai Platun Gempur Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja yang telah ditugaskan untuk menjejak serta memusnah segerombolan musuh di kawasan gerakan yang sebelumnya telah menembak mati seorang anggota Pasukan Keselamatan di kawasan Tanah Hitam, Perak.

Di atas kecekalan dan keberanian beliau akhirnya telah berjaya mengesan arah musuh melarikan diri. Bagaimanapun keadaan tanah menjadi faktor penghalang kepada Platun tersebut melakukan penjejakan di samping tipu muslihat musuh yang tak putus-putus. Namun keberanian serta kecekapan beliau sebagai Ketua Platun sentiasa memberi semangat kepada anggota-anggota kumpulan penjejakan yang berjalan selama sebelas hari sebelum pertempuran yang pertama.

Setelah mengeledah selama beberapa hari di tempat anggota Pasukan Keselamatan ditembak mati sebelumnya, akhirnya beliau dapat mengesan arah sebenar musuh melarikan diri. Pada 19 Febuari 1980 jam 3 petang setelah membuat penjejakan dengan penuh berhati-hati, platunnya telah mengesan kedudukan musuh yang berada dihadapan dan tidak jauh dari kedudukan mereka. Disebabkan kedudukan di lereng bukit mereka tidak menyedari yang mereka sudahpun berada di kawasan musuh.

Perkara ini hanya disedari setelah Sarjan Kanang berjalan ke hadapan dan melintasi tali perhubungan dari tempat pengawal musuh ke kumpulan besarnya. Pengawal musuh pada masa itu hanya berada kira-kira 8 meter dari kedudukan beliau. Sarjan Kanang dan pelatunnya terus melepaskan tembakan ke arah sebelah kanan dan melancarkan serangan. (Setelah serangan dilakukan baru mereka menyedari bahawa lereng bukit di bahagian bawah). Dengan tidak hilang akal, Sarjan Kanang menoleh dan menghalakan senjatanya ke arah kedudukan musuh.
Akhirnya mereka berjaya mematahkan serangan musuh. Walaupun musuh menyelamatkan diri namun serangan yang dilancarkan tidak sia-sia. Lima mayat musuh terbujur walaupun Sarjan Kanang terpaksa menerima hakikat kehilangan seorang anggotanya dan seorang lagi cedera parah.

Hasil dari petempuran ini beliau telah dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP). Sebelum ini Sarjan Kanang anak Langkau telah dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) hasil daripada keberaniannya membawa kumpulan tinjau khas mengekori dan membuat penjejakan ke atas musuh di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak pada tahun 1979.

Beliau telah berhasil melancarkan satu serangan ke atas kedudukan musuh dan berjaya membunuh lima orang musuh. Sarjan Kanang berasal dari Semanggang, Sarawak. Beliau menyertai pasukan Sarawak Rangers pada 21 April 1962 sebagai seorang Iban Tracker dan memasuki Rejimen Renjer Diraja apabila ia ditubuhkan.
Beliau telah bersara dalam Pangkat Pegawai Waran I. Kini Kanang anak Langkau SP PBG merupakan pemegang anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang masih hidup.


KANANG ANAK LANGKAU
PAHLAWAN negara ini menerima dua pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB). Di mana beliau sekarang? Lama sungguh tidak membaca cerita mengenainya.


Saya terjumpa buku Kanang - Cerita Seorang Pahlawan (1991) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ketika sedang menyusun rak buku. Buku tulisan Mejar (B) Maznan Noordin ini dibeli semasa jualan gudang DBP dengan harga RM2. Bagi saya alangkah ironinya - RM2 terlalu murah jika hendak dibandingkan dengan tingginya nilai buku ini dan lebih tinggi nilainya dengan nyawa yang dipertaruhkan oleh pahlawan ini.

- Kanang masuk tentera secara kebetulan.


- Sewaktu dengan Pasukan 42 Komanto Tentera British, beliau pernah menyelamatkan pegawai pemerintahnya daripada maut.

- Beliau hampir ditawan oleh tentera Siliwangi sewaktu zaman konfrantasi.
- Beliau dikerah menyertai satu operasi pada hari perkahwinannya.

- Setiap kali beliau terlibat dalam pertempuran dengan musuh beliau bermimpi didatangi oleh seorang pak haji.

- Dalam Gerakan Setia 8/79 pasukannya bertempur pada Hari Gawai, hari gembira bagi masyarakat Iban.

- Bagi mengelak terkena badi, beliau terpaksa memakan otak salah seorang pengganas yang dibunuhnya.

- Dalam Gerakan Khas Setia pada wal 1980, beliau telah mendapat kecederaan parah kerana keberaniannya merempuh pertahanan musuh bagi menyelamatkan rakan-rakannya.

- Akibat kecederaannya, selama seminggu beliau tidak sedarkan diri, sebulan pula berada dalam Unit Kawalan Rapi dan setahun di wad biasa.
Kata Kanang: "Si Kanang ini merasa sudah terlalu banyak disirami kemuliaan hingga sukar pula dia bernafas di alam nyata."

Catatan:
* SP: Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa - Allahyarham Jalil Ibrahim adalah satu-satunya orang awam yang pernah dianugerahkan pingat tertinggi negara SP. Sehingga kini hanya Kanang anak Langkau telah dianugerahkan kedua-dua pingat keberanian PGB (1980) dan SP (1981)- Dianugerakan oleh Agong waktu itu - Sultan Pahang Sekarang.




Rajagopal - Saksi kesengsaraan Kanang

PENGALAMAN melihat isi perut wira negara Pegawai Waran I Kanang Anak Langkau
terburai akibat ditembak oleh pengganas komunis tidak mungkin dilupakan oleh bekas anggota Tentera Darat daripada pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) ini.

Beliau yang berada pada posisi yang paling dekat dengan Kanang ketika kejadian itu berlaku masih dapat membayangkan betapa ngerinya melihat darah yang membuak-buak keluar dari celahan urat perut ketuanya yang terburai.


Hasrat beliau untuk mendekati dan membantu ketuanya itu bagaimanapun terhalang oleh tembakan menggila yang dilepaskan dari senjata pihak musuh yang sememangnya sudah dari awal menantikan kedatangan pasukan mereka.

"Melihat keadaannya yang berlumuran darah dan tidak bermaya waktu itu, saya ingat dia (Kanang) sudah habis (mati) tapi umur dia masih panjang,'' kata Pegawai Waran II, S. Rajagopal menceritakan antara pengalaman ngeri sepanjang berkhidmat sebagai anggota 8 RRD.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Rajagopal berkata, kejadian serang hendap berlaku ketika pasukan 8 RRD yang diketuai oleh Kanang (Sarjan pada masa itu) mengetuai satu pasukan menjejak dan mengesan musuh dalam Ops Setia Khas pada tahun 1978.

Kejadian berlaku ketika pasukan yang mempunyai rekod cemerlang dalam operasi mengesan dan menjejak musuh itu sedang menuruni sebatang denai di sebuah bukit yang dikelilingi cerun curam di bahagian kiri dan kanannya di Tanah Hitam, Chemor, Perak.

"Ketika kami sedang mengikut jejak yang terdapat di denai ini, tiba-tiba saya terdengar letupan dan melihat salah seorang anggota perubatan,
Koperal Salleh yang berada di belakang terpijak jerangkap samar sehingga putus kaki,'' katanya.

Rajagopal memberitahu, ketika anggota lain termasuk beliau dan Kanang berpaling ke belakang sambil menundukkan diri, pasukan mereka pada masa itu berada di kawasan terbuka terus dihujani peluru musuh.


Dalam keadaan kelam kabut itu, kata beliau,
Kanang akhirnya terkulai akibat terkena tiga das tembakan daripada musuh.

Sebutir peluru dari arah belakang singgah ke jantungnya sebelum menembusi dadanya .
Beberapa saat kemudian, dua lagi tembakan dari depan dengan setiap sebutir peluru mengenai saluran kencing dan merosakkan buah pinggang kirinya .


"Akibat tembakan itu Kanang terpaksa dirawat selama setahun di hospital dan bagi saya itulah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai anggota 8 RRD yang kini dikenali sebagai 8 RRD Para,'' kata Rajagopal ketika ditemui di rumahnya di Taman Senawang Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


Rajagopal yang dipanggil dengan panggilan `anak' oleh Kanang memberitahu, pertempuran dengan pengganas komunis itu merupakan pertempuran ketiga yang disertai oleh beliau bersama dengan Kanang yang disifatkannya sebagai jurulatih dan gurunya.

Beliau yang juga bekas Ketua Jurulatih Risik Balas di Pusat Latihan Perisikan Angkatan Tentera Malaysia berkata, dirinya adalah antara anggota 8 RRD yang paling banyak bersama dengan Kanang dalam pertempuran dengan komunis.

Selain pertempuran kecil, antara pertempuran besar yang pernah ditempuhinya bersama Kanang ialah ketika kumpulan tinjauan khas 8 RRD ditugaskan mengesan dan menjejak musuh di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak.

Dalam operasi yang diketuai oleh Kanang bersama lebih 30 anggota 8 RRD itu, pasukan terbabit berjaya menjejaki dan membunuh lima pengganas komunis.

Atas keberanian dan kehebatan yang ditunjukkan oleh pasukan itu, Kanang dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), manakala Rajagopal menerima Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (PKPK).


Jasa Kanang tumpas musuh terus dikenang
(Petikan Akhbar Utusan Tahun 2004)
KESEJAHTERAAN hidup yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini seharusnya menjadi penyuntik semangat untuk generasi muda insaf dan terus berusaha mempertahankannya, kata pahlawan negara, Kanang anak Langkau.


Bekas Pegawai Waran I berusia 61 tahun itu, berkata generasi muda negara kini beruntung kerana tidak menghadapi ancaman peperangan dan pemberontakan seperti yang sedang berlaku di beberapa negara di dunia.

Berbanding rakyat di negara lain seperti di Palestin, Lubnan dan Iraq, anak muda malahan remaja terpaksa menggalas senjata dan berjuang demi mempertahankan diri dan meneruskan kehidupan, katanya.

S
ekarang di Malaysia aman, janganlah buat pekerjaan tidak baik seperti hisap dadah, merompak dan membunuh. Bentuklah satu kehidupan sejahtera. Anak yang masih sekolah, jangan hampakan ibu bapa, belajarlah bersungguh-sungguh. Tuntut ilmu supaya jadi orang pandai.

K
alau tidak pandai belajar, bukan orang lain yang menyesal tapi diri sendiri susah. Peluang tidak datang selalu, gunakanlah sepenuhnya,katanya ketika ditemui di rumahnya di Sri Aman, Sarawak sempena Hari Pahlawan, semalam.

Kanang, adalah satu-satunya wira negara yang masih hidup dan dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan pengorbanannya.


Seorang renjer yang terkenal dengan moto
Agi Idup Agi Ngalaban (berjuang selagi masih hidup) Kanang diingati sebagai perwira negara yang unggul.

Merenung tajam kepada akhbar di sisi yang menyiarkan berita serangan Israel ke atas Lubnan, Kanang bukan saja marah tetapi mual dengan berita peperangan yang menjadi paparan media massa akhir-akhir ini.


Mengingati peritnya detik peperangan, Kanang mengimbas zaman beliau berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bertugas di perbatasan untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh khususnya komunis.

Zaman 1960-an sehingga awal 80-an, Malaysia yang masih menghadapi ancaman komunis dan anasir subversif memerlukan anggota ATM sentiasa bertungkus lumus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara tercinta.

Berasal dari Kanowit, Kanang yang dilahirkan pada 2 Mac, 1945 dan mempunyai kepakaran meneroka dan memburu di hutan, menganggotai ATM pada 1961 sebagai Iban Tracker.

Pada awal 1962, Kanang menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor, selama tiga bulan sebelum beliau berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor.

Pada 1963, apabila Presiden Sukarno (ketika itu) melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia, Kanang adalah antara anggota pasukan pertama di hantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan askar Indonesia.

Kanang pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan
Trackers profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment ATM.

Kanang, yang mempunyai semangat kepahlawanan tinggi untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh, berjuang bermati-matian walaupun kecederaan parah dialami hampir meragut nyawanya.

Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer yang diketuai Kapt Johnson anak Meling dibantu oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan ditugaskan ke kawasan tanah hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD beberapa hari sebelumnya.


Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga menyebabkan beliau cedera parah di perut dan belakang. Dia bersabung nyawa untuk terus hidup dan berada di hospital 14 bulan.

Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya itulah Kanang dianugerah Pingat SP pada 3 Jun 1981. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1987. Kanang berkata, lukanya kembali berdarah apabila membaca berita peperangan.

Bagaimanapun, Kanang bersyukur darah perjuangan yang ada ditubuhnya kini mengalir di dalam anak bongsunya Langgi, 24, yang kini berkhidmat dengan Regimen Diraja Artilari (Royal Artillery Regiment) di Temerloh.

Bercerita tentang hidupnya kini, Kanang seakan ingin menebus kembali masa lampaunya yang sering tidak dapat bersama isteri tercinta kerana kesibukan bertugas demi mempertahankan kedaulatan negara.

Bagi pahlawan negara ini, tiada apa yang lebih berharga kini selain bersama-sama meniti kehidupan dengan Helen Latai anak Intie, 57, yang selama ini puas berkorban dan sentiasa menjadi pendorong semangat berjuang demi negara.

Sambil merenung wajah isteri yang duduk di hadapannya, beliau berkata, sepanjang 26 tahun beliau berkhidmat dalam ATM, isteri dan keluarganya sering ditinggalkan, bukan sehari dua, malah berbulan-bulan demi tugas di perbatasan.

Sempena Hari Pahlawan semalam, kata Kanang pengiktirafan kepada perwira bukan hanya sekadar memberi pingat atau anugerah tetapi juga mendapat pengiktirafan daripada masyarakat keseluruhannya.


Updated :  Datuk Kanang Anak Langkau meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pukul 1.45 pagi, 3 Januari 2013.

LATEST!!!

TAK SEMPURNA : RIN MUZAFFAR. LAGU SELINGAN DRAMA LELAKIMU YANG DULU

Assalamualaikum... Tuan Umah singgah umah da bersawang ni jap... No idea la nk update blog... Jom layan lagu Tak Sempurna ol...

RAMAI SINGGAH SINI :